Thursday, July 12, 2007

Tempat Menarik Di Alor Star

Dipetik dari Harian Metro dan disunting oleh Malaysiana2.

Alor Star, ibu negeri Kedah mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik lagi bersejarah. Dengan penduduk kira-kira 400,000 orang, ia antara bandar tertua rantau ini.

Bandar itu terletak 93 kilometer ke utara Butterworth, Pulau Pinang dan 45 kilometer ke selatan sempadan Malaysia-Thailand.

Alor Star melahirkan ramai pemimpin negara seperti Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ayahanda Perdana Menteri kelima Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Badawi Abdullah, juga berasal dari Alor Star, walaupun lahir di Kepala Batas, Butterworth, Pulau Pinang.

Alor Star telah diisytiharkan sebagai bandaraya pada Disember 21, 2003 oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Ini adalah antara tempat menarik di Alor Star.

Balai Besar

Bangunan ini dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah. Dinding, atap dan lantainya diperbuat daripada kayu.

Bangunan ini rosak teruk ketika tentera Siam menyerang Kedah.

Ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, baginda yang merupakan ayahanda Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama, membaik pulih bangunan ini.

Banyak acara penting diadakan di bangunan ini, antaranya perkahwinan diraja dan persidangan Dewan Undangan Negeri dari tahun 1905 hingga 1973.

Balai Nobat

Bangunan ini dibina setinggi lapan meter dan lima meter lebar. Ia menyimpan pelbagai khazanah peralatan muzik diraja, antaranya serunai, nafiri, gendang dan gong.

Galeri Seni Lukis

Bangunan ini menghimpunkan pelbagai hasil seni termasuk seni lukis, fotografi, pertukangan tangan dan peralatan muzik.

Pekan Rabu

Pekan Rabu terletak berdekatan bangunan jabatan kerajaan. Walaupun namanya Pekan Rabu, perniagaannya dibuka setiap hari berikutan sambutan orang ramai. Anda boleh mendapatkan pelbagai barangan termasuk pakaian, kraftangan dan makanan tradisional.

Masjid Zahir

Masjid ini dibina pada tahun 1912 sebagai penghargaan kepada Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Tapak perkuburannya mengandungi makam pahlawan negeri yang mempertahankan Kedah dari serangan Siam pada 1821.

Muzium Diraja Kedah

Bangunan ini asalnya diperbuat daripada kayu dan dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Muadzam Shah pada 1735.

Tunku Abdul Rahman dilahirkan dan dibesarkan di bangunan bekas istana ini.

Menara Alor Star

Ia terletak di tengah bandaraya Alor Star dengan ketinggian 165.5 meter.

Ia adalah lambang kemodenan dan kepesatan pembangunan di Kedah. Ia berfungsi sebagai menara telekomunikasi dan tarikan pelancong.

Menara ini adalah menara telekom kedua tertinggi di negara ini dan ke-19 di dunia.

Terusan Wan Mat Saman

Tali air terpanjang di negara ini. Ia menghubungkan Sungai Kedah di Alor Star dengan kaki Gunung Jerai di Gurun, Sungai Petani, di selatan Kedah.

Ia dibina untuk memberi kemudahan pengairan kepada petani di Kedah sebab Kedah ialah periuk nasi Malaysia.

Terusan ini dibina dari tahun 1885 ke 1895 tanpa peralatan sains dan teknologi moden oleh Datuk Wan Mat Saman Wan Ismail, Datuk Bendahara Kedah di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Wan Mat Saman adalah nenda saudara kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia keempat.

Tempat kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dilahirkan pada 10 Julai, 1925 di rumahnya berhampiran kilang ais di Seberang Perak, Alor Star.