Wednesday, July 4, 2007

Beting Beras Basah - Tapak Sejarah Di Perak

Oleh Berita Harian & Malaysiana

Beting Beras Basah yang terletak di Bagan Datuk, Teluk Intan di Perak berhampiran dengan muara Sungai Perak adalah kawasan pantai pasir yang kadangkala timbul dan kadangkala tenggelam apabila air pasang.

Ia dikaitkan dengan kedatangan Sultan Perak pertama dari Johor yang menjejakkan kaki di sana.

Setiap kali pertabalan Sultan Perak, Sultan terbabit mestilah menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah.

Kawasan ini mempunyai keunikan tersendiri. Pasirnya memutih seakan-akan warna beras dan akan menjadi keras ketika surut hingga membolehkan kenderaan melaluinya.

Menurut catatan sejarah, Sultan Mahmud Shah 1 yang memerintah Johor dan Melaka telah menghantar anak bongsunya Raja Muzaffar untuk menjadi Sultan Perak yang pertama.

Raja Muzaffar diiringi oleh kaum kerabatnya iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim.

Pada masa itu, Perak adalah kesultanan Gangga Negara, yang diasaskan oleh seorang anak raja Johor beratus-ratus tahun sebelum kelahiran Raja Muzaffar.

Dinasti yang memerintah Gangga Negara telahpun tamat sebab Sultannya telah mangkat tanpa meninggalkan waris lelaki.

Raja Muzaffar telah diisytiharkan sebagai Sultan Perak pertama oleh kaum kerabat raja Gangga Negara dan Johor (dari keluarga yang sama sebenarnya) pada tahun 1528.

Baginda telah memberi nama baru Perak kepada Gangga Negara sempena seorang nenek moyangnya iaitu Tun Perak, pahlawan Melaka dan Johor yang terbilang.

Tun Perak pernah menjadi Bendahara Melaka dan Johor.

Sultan Muzaffar Shah adalah anak Sultan Mahmud Shah dari isterinya dari kerabat Sultan Kelantan bernama Onang Kening.

Sultan Muzaffar berkahwin dengan Tun Terang, anak tunggal kepada isteri Sultan Mahmud Shah iaitu Tun Fatimah melalui perkahwinannya dengan sepupunya Tun Ali.

Tun Fatimah adalah cucu Tun Perak manakala Tun Ali adalah cucu saudara Tun Perak.