Sunday, July 13, 2008

Informasi Sarawak, Sabah & Labuan

Terima kasih, Wikipedia.

Sarawak

Sarawak ialah negeri terbesar di Malaysia dan terletak di Pulau Borneo bersama-sama dengan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketiga-tiga wilayah ini dipanggil Malaysia Timur.

Sarawak dibahagikan kepada 11 Bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Negeri ini beriklim khatulistiwa dan kaya dengan hutan hujan tropika. Hutan Sarawak amat kaya dengan hidupan liar, haiwan dan juga tumbuhan dan merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia.

Hutan di Sarawak mengandungi lebih 8,000 spesis tumbuhan dan lebih 20,000 spesis haiwan. Ia adalah kawasan biodiversiti yang paling tinggi di dunia.

Sarawak membentuk kawasan barat laut Pulau Borneo dan dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan. Ia bersempadan dengan Indonesia di selatan serta Brunei dan Sabah di timur laut.

Bandar-bandar utama di Sarawak ialah Kuching (ibu negeri), Miri dan Sibu. Kuching telah menjadi bandaraya pada tahun 1988 manakala Miri menjadi bandaraya pada tahun 2005.

Sarawak mendapat namanya dari perkataan bahasa Iban Sa Rawak yang bermaksud Sungai Besar (Sa ialah Sungai dan Rawak ialah Besar).

Sarawak pada mulanya sebuah jajahan kerajaan Brunei dan diperintah oleh seorang putera raja Brunei bergelar Datuk Patinggi.

Dalam tahun 1839, Datuk Patinggi Sarawak telah melancarkan pemberontakan untuk memerdekakan negerinya dari penguasaan Brunei.

Sultan Brunei telah meminta bantuan ejen British Sir James Brooke untuk mematahkan pemberontakan Datuk Patinggi.

Sir James telah meminta supaya negeri Sarawak diserahkan kepadanya jikalau beliau berjaya mengalahkan Datuk Patinggi.

Beliau telah berjaya memujuk Datuk Patinggi meletakkan senjata setelah menjanjikan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Patinggi apabila Sarawak diserahkan kepada pihak British kelak.

Dalam tahun 1841, Sultan Brunei telah menyerahkan Sarawak kepada Sir James dan menganugerahkan gelaran Raja Sarawak kepadanya.

Sir James telah memerintah Sarawak sebagai kolonialis swasta British sehingga kematiannya pada tahun 1868. Beliau diganti oleh anak saudaranya Sir Charles Brooke Johnson yang memimpin Sarawak dari tahun 1868-1917. Sir Charles pula diganti oleh anaknya Sir Charles Vyner Brooke Johnson yang memerintah dari tahun 1917-1946.

Dalam tahun 1946, Sir Charles Vyner telah menyerahkan Sarawak kepada kerajaan United Kingdom di London. Sarawak telah menjadi koloni rasmi British sehingga Ogos 31, 1963 apabila ia mencapai kemerdekaan.

Pada September 16, 1963, Sarawak telah membentuk Persekutuan Malaysia bersama dengan Sabah, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

Sarawak memiliki kerajaan berbentuk republik dengan Yang Dipertua Negeri sebagai ketua negeri.

Yang Dipertua Negeri dilantik dari kalangan pemimpin tinggi masyarakat bumiputera Sarawak oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia di Kuala Lumpur.

Ketua eksekutif kerajaan negeri Sarawak ialah Ketua Menteri yang memimpin Kabinet Negeri yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Negeri.

Kuasa perundangan terletak di tangan Dewan Undangan Negeri yang anggotanya dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya setiap 4 hingga 5 tahun.

Sejak tahun 1963, Sarawak telah diketuai oleh 5 orang Yang Dipertua Negeri. Mereka ialah:

Tun Abang Openg Abang Sapiee (1963-1969).
Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman (1969-1977).
Tun Abang Salahuddin Abang Barieng (1977-1981, 2000-).
Tun Abdul Rahman Yaakub (1981-1985).
Tun Ahmad Zaidi Adrus Mohamad Noor (1985-2000).

Kecuali Tun Abang Openg yang berketurunan Melayu Brunei dari Kuching, kesemua Yang Dipertua Negeri Sarawak berketurunan Melanau ataupun campuran Melanau dan Melayu Brunei (Tun Tuanku Bujang) dari Sibu.

Sarawak ialah pusat industri petroleum di Malaysia. Petroleum mula-mula dijumpai di Miri dalam tahun 1910an oleh penjajah British.

Selain petroleum, Sarawak juga menghasilkan minyak sawit dan kayu balak. Pelancongan juga adalah industri penting di Sarawak.

Penduduk Sarawak yang berjumlah kira-kira 1.5 juta orang terdiri daripada orang Cina (30 peratus) selain masyarakat bumiputera seperti Iban (30 peratus), Melanau (18 peratus), Melayu Brunei (11 peratus), Bidayuh (8 peratus), Kenyah-Kayan (2 peratus) dan Kelabit (1 peratus).

Sabah

Sabah adalah sebuah negeri dalam Malaysia yang terletak di bahagian utara Pulau Borneo. Ia merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak.

Sabah mendapat namanya dari istilah Arab yang bermaksud Negeri Di Bawah Bayu. Sabah sememangnya terletak di selatan kawasan taufan iaitu Kepulauan Sama atau Filipina.

Sabah pada mulanya diperintah oleh Sultan Brunei. Ia kemudiannya dikuasai oleh Sultan Sulu yang berketurunan Bajau Tausug yang memerintah Kepulauan Filipina tetapi dinaungi oleh Sultan Brunei.

Dalam tahun 1881, Sabah telah menjadi tanah jajahan British.

Sabah telah mencapai kemerdekaan dari British pada Ogos 31, 1963. Pada September 16, 1963, Sabah telah membentuk Persekutuan Malaysia bersama-sama dengan Sarawak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sabah adalah kawasan berbukit-bukau. Ia juga memiliki lembah-lembah sungai yang subur. Laut di sekitarnya amat kaya dengan hidupan marin.

Gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi di Malaysia dan Kepulauan Asia Tenggara terletak di Ranau dan tingginya 4,101 meter.

Terdapat 5 bahagian atau Residensi di Sabah iaitu Pedalaman (pusat bahagian Keningau), Pantai Barat (Kota Kinabalu), Kudat, Sandakan dan Tawau.

Bandar-bandar utama di Sabah ialah Kota Kinabalu (ibu negeri), Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Penduduk Sabah yang berjumlah kira-kira 1.2 juta orang terdiri daripada kaum Cina (20 peratus) serta kaum-kaum bumiputera seperti Kadazandusun (45 peratus), Bajau (18 peratus), Melayu Brunei (10 peratus) dan Murut (7 peratus).

Sabah mengamalkan sistem pemerintahan republik dan seperti Sarawak, ketua negerinya bergelar Yang Dipertua Negeri.

Yang Dipertua Negeri dilantik dari kalangan pemimpin tinggi masyarakat bumiputera Sabah oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia di Kuala Lumpur.

Ketua eksekutif kerajaan negeri Sabah ialah Ketua Menteri yang memimpin Kabinet Negeri yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Negeri.

Kuasa perundangan terletak di tangan Dewan Undangan Negeri yang anggotanya dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya setiap 4 hingga 5 tahun.

Sejak tahun 1963, Sabah telah diketuai oleh 9 orang Yang Dipertua Negeri. Mereka ialah:

Tun Datu Mustapha Datu Harun (1963-1965) [keturunan Bajau].
Tun Pengiran Ahmad Raffae Pengiran Othman (1965-1973) [keturunan Melayu Brunei].
Tun Muhammad Fuad Donald Stephens (1973-1975) [keturunan Kadazandusun].
Tun Hamdan Keri Abdullah (1975-1978) [keturunan Kadazandusun].
Tun Ahmad Thomas Koroh (1978) [keturunan Murut].
Tun Muhammad Adnan Mickey Robert (1978-1986) [keturunan Kadazandusun].
Tun Muhammad Said Keruak (1986-1994) [keturunan Bajau].
Tun Sakaran Dandai (1994-2002) [keturunan Murut dan Bajau].
Tun Ahmadshah Abdullah (2002-) [keturunan Bajau].

Ketua Menteri Sabah sejak tahun 1963 adalah seperti berikut.

Tun Muhammad Fuad Donald Stephens (1963-1964, 1976) [keturunan Kadazandusun].
Tan Sri Peter Lo Su Yin (1964-1967) [keturunan Cina].
Tun Datu Mustapha Datu Harun (1967-1975) [keturunan Bajau].
Tun Muhammad Said Keruak (1975-1976) [keturunan Bajau].
Datuk Seri Harris Salleh (1976-1985) [keturunan Melayu Brunei].
Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan (1985-1994) [keturunan Kadazandusun].
Tun Sakaran Dandai (1994) [keturunan Murut dan Bajau].
Datuk Seri Salleh Tun Muhammad Said (1994-1996) [keturunan Bajau].
Datuk Seri Yong Teck Lee (1996-1998) [keturunan Cina].
Tan Sri Bernard Dompok (1998-1999) [keturunan Kadazandusun].
Datuk Seri Osu Sukam (1999-2001) [keturunan Bajau].
Tan Sri Chong Kah Kiat (2001-2003) [keturunan Cina].
Datuk Seri Musa Aman (2003-) [keturunan Kadazandusun].

Sabah amat kaya dengan sumber alam dan 60 peratus daripada tanahnya adalah kawasan hutan hujan tropika.

Sabah adalah negeri pengeluar kayu balak yang utama di Malaysia selain Sarawak dan ia juga menghasilkan petroleum serta koko dan minyak sawit.

Pelancongan adalah satu industri yang penting di Sabah.

Labuan

Wilayah Persekutuan Labuan terletak di barat daya Sabah iaitu 10km dari pantai daerah Kuala Penyu.

Labuan yang pada mulanya sebuah daerah di negeri Sabah telah menjadi Wilayah Persekutuan pada Februari 1, 1984 iaitu 10 tahun selepas ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur di Selangor, diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan yang pertama.

Kini terdapat 3 buah Wilayah Persekutuan di Malaysia - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (Februari 1, 2001, diambil dari negeri Selangor).

Ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini ditadbir oleh Kementerian Wilayah Persekutuan di peringkat kerajaan pusat. Di peringkat tempatan Kuala Lumpur ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Labuan oleh Perbadanan Labuan dan Putrajaya oleh Perbadanan Putrajaya.

Labuan mendapat namanya dari perkataan Labuhan yang bermaksud Pelabuhan dalam Bahasa Melayu Brunei.

Pulau itu pada mulanya sebuah daerah kesultanan Brunei. Pada tahun 1846, Labuan telah menjadi jajahan British.

Dalam tahun 1946, Labuan telah menjadi wilayah dalam negeri Sabah.

Setelah menjadi Wilayah Persekutuan, Labuan telah menjadi Pusat Kewangan Antarabangsa Luar Pantai yang pertama di Malaysia.

Antara tempat pelancongan menarik di Labuan ialah Taman Damai (tempat Jepun menyerah kalah kepada British), Cimni Labuan dan Taman Burung Labuan.

Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam.

Penduduk Labuan yang berjumlah kira-kira 77,700 orang terdiri daripada orang Melayu Brunei (78 peratus), Cina (16 peratus), Kadazandusun (5 peratus) dan India (1 peratus).

Friday, June 6, 2008

Ngah Ibrahim Pulang Ke Perak

Ngah Ibrahim adalah seorang menteri dalam kerajaan Sultan Ali Shah, Sultan Perak di zaman 1860an.

Berketurunan raja-raja Johor, Kedah dan Kelantan, beliau adalah anak Long Jaafar, penghulu Larut (kini Taiping) yang menemui bijih timah di sana serta membangunkan bandar yang kedua terbesar di negeri Perak.

Ngah Ibrahim yang bergelar Menteri telah dibuang negeri oleh pihak kolonial British berikutan tindakannya menentang penjajahan Barat pada tahun 1870an.

Beliau tinggal dalam buangan di Kepulauan Seychelles selama sedekad dan kemudiannya dihantar ke Singapura. Beliau meninggal dunia di Singapura pada tahun 1895.

Pada tahun 2006, kerajaan Malaysia dan Singapura telah bertindak mengebumikan semula Ngah Ibrahim di Kuala Kangsar, bandar diraja Perak.

Turut dikebumikan semula ialah sekutu politik dan bapa mertua Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin Alang Duakap yang hidup dalam buangan di Seychelles dan Singapura.

Seorang lagi sekutu politik Ngah Ibrahim, Shahbandar Uda Makmur yang turut dibuang negeri ke Seychelles dan Singapura tidak dapat dikebumikan semula sebab makam beliau di Singapura belum dapat dikenalpasti.

Uda dan Muhammad Amin berketurunan raja-raja Johor.

Muhammad Amin juga berketurunan Laksamana Hang Tuah, pahlawan agung Melaka dan Johor.

Wednesday, January 2, 2008

Kisah Kampung Sungai Sekiah, Tanjung Malim

Terima kasih, Wikipedia.

Kampung Sungai Sekiah terletak di Behrang Ulu Batu 7, Tanjung Malim, Perak.

Kampung ini mula-mula diterokai dalam tahun 1917 oleh panglima perang Sultan Selangor yang berketurunan Johor-Riau iaitu Panglima Ubong.

Beliau datang ke Tanjung Malim bersama-sama dengan peneroka-peneroka berketurunan Kedah dan Johor-Riau dari Kesultanan Deli (Medan) di Pulau Sumatera.

Terdapat lebih kurang 100 buah rumah yang menempatkan hampir 400 orang di kampung ini, tidak termasuk mereka yang telah berhijrah ke tempat lain.

Penduduk kampung ini kebanyakannya adalah penoreh getah serta pemilik dusun buah-buahan.

Tuesday, January 1, 2008

Bandaraya Di Malaysia

George Town (1 Januari, 1957)
Kuala Lumpur (1 Februari, 1972)
Ipoh (27 Mei, 1988)
Kuching (1 Ogos, 1988)
Johor Baru (1 Januari, 1994)
Kota Kinabalu (2 Februari, 2000)
Shah Alam (10 Oktober, 2000)
Melaka (15 April, 2003)
Alor Star (21 Disember, 2003)
Miri (20 Mei, 2005)
Petaling Jaya (20 Jun, 2006)
Kuala Terengganu (1 Januari, 2008)

Nota: Pada 1 Januari, 1976, Akta Kerajaan Tempatan telah menggabungkan Majlis Bandaraya George Town dan Majlis Daerah Balik Pulau dan membentuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang.