Laporan Harian Metro. Disunting Oleh Malaysiana2.
Kesang di Muar yang menjadi pintu masuk ke Johor dari Bandaraya Melaka mengandungi pelbagai cerita menarik dan bersejarah.
Dari tahun 1835 ke 1877, iaitu semasa Sultan Ali Iskandar Shah memerintah Johor, Kesang diwartakan sebagai tanah milik mutlak Sultan.
Setelah Sultan Ali mangkat pada tahun 1877, pengganti dan saudara baginda, Sultan Abu Bakar telah melantik Marjan Jaafar sebagai penghulu Kesang.
Marjan, yang berketurunan Jawa, adalah bekas pegawai kerajaan kolonial British di Melaka.
Semasa zaman kesultanan Melaka, Kesang dianggap antara kampung yang terbesar di daerah Muar, Johor. Penduduknya bersawah, menanam pokok buah-buahan, serta menternak ayam dan itik.
Sebuah terusan menghubungkan Sungai Kesang dengan pantai Tanjung Gading.
Tanjung Gading adalah tempat di mana musuh Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah 1, berkumpul untuk membantu penjajah Portugis menyerang istana baginda di bandar Muar.
Musuh Sultan Mahmud itu adalah orang Kampar dari kerajaan Kampar di Pulau Sumatera, jajahan takluk Johor.
Sultan Kampar yang membantu orang Portugis, Sultan Abdullah, adalah anak saudara Sultan Mahmud. Baginda akhirnya dikhianati oleh penjajah Eropah yang mencincangnya sampai mati.
Tanjung Gading pernah menjadi pelabuhan untuk bandar Muar di zaman Melaka. Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor kedua ada singgah di sana semasa dalam pelayaran ke Pulau Bintan iaitu bekas ibu negeri Johor di Kepulauan Riau yang kini dimiliki Indonesia.
Di Tanjung Bangsal, dekat kuala Sungai Kesang, terdapat makam Tok Moin, penghulu kampung itu yang berketurunan Jawa. Dia berkahwin dengan seorang anak kepada Raja Mahmud, seorang putera raja Johor.
Di zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, perkhidmatan perahu tambang diwujudkan bagi mengangkut penduduk Kesang ke pusat bandar Muar.
Kini di sempadan Johor-Melaka di Sungai Kesang dibina sebuah tugu untuk membolehkan pelawat mengenali bahawa mereka sudah masuk ke negeri Johor.